
MATAQU telah melancarkan dua program perantis khusus untuk pelajar-pelajarnya yang berkelayakan. Program perantis ini juga berkemungkinan merupakan satu-satunya program yang pernah diwujudkan oleh sesebuah institusi tahfiz atau sekolah aliran biasa samaada persendirian atau kerajaan.
Program perantis tersebut merangkumi dua bidang utama iaitu :
1. Perantis Guru Tahfiz Professional
2. Perantis Pembantu Pentadbiran
Program perantis MATAQU ini berbeza dengan konsep khidmat atau latihan mengajar yang sudah menjadi fenomena biasa dipraktikkan di madrasah atau sekolah pondok. Hal ini kerana menerusi program perantis MATAQU ini, perantis ialah kakitangan tetap yang dibayar gaji dan diberikan insentif-insentif yang sama seperti graduan lulusan Diploma / Ijazah yang setara dari kolej atau Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).
Tambahan pula, untuk memantapkan lagi Latihan Mengajar sambil bekerja, perantis berpeluang melanjutkan pelajaran secara sambilan pada peringkat Diploma di institusi pengajian terpilih yang akan ditaja oleh pihak maahad / YayasaNQU setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Ketika ditanya apakah objektif diwujudkan program perantis ini, Tuan Haji Alauddin bin Ishak selaku Pengerusi Mataqu dan YayasaNQU memberitahu bahawa objektif utama adalah untuk memastikan para huffaz yang dilahirkan oleh maahad akan sentiasa menjaga hafazan al-Quran mereka sepanjang hayat. Hal ini demikian kerana, ulangan dan kelancaran hafazan akan menjadi satu syarat wajib untuk penilaian prestasi kerja para perantis dan guru-guru huffaz Mataqu.
Para perantis juga bakal diberikan pelbagai latihan kemahiran untuk persediaan awal menjadi golongan daie dan tenaga kerja profesional pada masa hadapan. Tuan haji Alauddin menambah bahawa dengan keadaan ekonomi dunia yang hambar terutamanya akibat Covid-19 ditambah pula dengan statistik graduan IPT menganggur yang meningkat setiap tahun, program perantis Mataqu ini ialah satu peluang yang mesti direbut oleh para huffaz maahad.
Melalui program perantis ini juga, para huffaz Mataqu berpeluang memasuki alam pekerjaan tahap profesional pada usia muda belasan tahun, jauh lebih awal daripada remaja/belia yang menyambung pengajian mereka ke Institusi-Institusi pengajian tinggi samaada di dalam atau luar negara. Semasa rakan sebaya mereka yang keluar dari IPT dan baru ingin memasuki alam pekerjaan, para huffaz Mataqu yang memasuki program perantis ini sudah pun menimba pengalaman bekerja beberapa tahun, telah terbina budaya kerja professional dan pasti lebih matang jika dibuat perbandingan secara menyeluruh.