Maahad Tahfiz Al-Quran Qasimul Ulum (MATAQU) merupakan sebuah institusi pendidikan Islam yang mengintegrasikan pengajian tahfiz Al-Quran dengan pendidikan diniah dan akademik secara menyeluruh. Ditubuhkan pada tahun 2000, MATAQU komited melahirkan generasi huffaz yang berilmu, berakhlak mulia dan cemerlang dalam bidang akademik.
MATAQU berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan No. Pendaftaran JAI.Sel BPI 03/05/083/02 Jld 1 (66) serta merupakan ahli berdaftar Persatuan Institusi Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) dengan No. Pendaftaran 2007-001-061.

Maahad Tahfiz Al-Quran Qasimul Ulum (MATAQU), yang pada asalnya dikenali sebagai Madrasah Qasimul Ulum (MQU), telah diasaskan pada akhir tahun 1423 Hijrah bersamaan tahun 2000 Masihi oleh Tuan Haji Alauddin bin Ishak sebagai sebuah institusi pendidikan Islam yang mengintegrasikan pengajian tahfiz Al-Quran, pendidikan diniah dan akademik. Nama Qasimul Ulum, yang membawa maksud “Pembahagi Ilmu”, telah diberikan oleh penasihat pertama madrasah ini, Ustaz Muhammad Razif bin Abd. Wahab Al-Hafiz.
Pada tahun 2012, MQU telah menerima kelulusan pendaftaran daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan secara rasminya dikenali sebagai Maahad Tahfiz Al-Quran Qasimul Ulum (MATAQU).
Bermula dengan hanya 8 orang pelajar dan 2 orang guru, MATAQU kini telah berkembang menjadi sebuah institusi pendidikan yang menempatkan lebih 200 orang pelajar serta disokong oleh lebih 30 orang tenaga pengajar. Pada peringkat awal penubuhannya, MATAQU hanya menawarkan pendidikan asas prasekolah melalui pendekatan home-schooling. Seiring dengan perkembangan institusi, MATAQU kini menawarkan program tahfiz integrasi bermula peringkat prasekolah sehingga ke peringkat menengah.
Operasi awal MATAQU bermula di sebuah unit lot kedai yang disewa di Pusat Bandar Seri Gombak sebelum dipindahkan ke sebuah rumah lot tepi di Fasa 5, Taman Seri Gombak. Memasuki tahun ketiga penubuhannya, operasi maahad telah dipindahkan ke sebuah lot tanah milik sendiri di Tanah Gantian Sungai Tua. Pada ketika itu, sesi pembelajaran dijalankan di rumah-rumah yang dibina di kawasan tersebut, manakala dua buah kontena telah disediakan sebagai bilik darjah bagi menampung keperluan pelajar peringkat tadika.
Bagi memenuhi keperluan pembangunan yang semakin meningkat, pembinaan sebuah kompleks pendidikan yang lebih lengkap telah dimulakan pada awal tahun 2012 di atas tanah wakaf. Kompleks tersebut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif serta memperkukuh sistem pengurusan institusi.
Setelah pembinaannya selesai, pada bulan Januari 2015, seluruh operasi MATAQU telah dipusatkan di kompleks tersebut. Semua kelas pengajian bermula daripada peringkat tadika hingga menengah, asrama pelajar serta pejabat pentadbiran telah dipindahkan ke lokasi baharu, sekali gus menandakan satu fasa penting dalam perkembangan MATAQU sebagai sebuah institusi pendidikan Islam yang terus komited melahirkan generasi huffaz yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing.
Pada masa kini, MATAQU mengendalikan tiga cawangan pendidikan yang merangkumi prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah tahfiz integrasi. Cawangan prasekolah beroperasi di rumah kediaman di kawasan Taman Nenas Indah, Jalan Nenas, cawangan sekolah rendah di Prima Sri Gombak, manakala cawangan sekolah menengah beroperasi di atas tanah lot persendirian yang menempatkan pusat pengajian, asrama pelajar dan pejabat pentadbiran. Struktur pengoperasian ini membolehkan MATAQU menyediakan sistem pendidikan yang lebih tersusun dan kondusif selaras dengan perkembangan institusi.
Kompleks MATAQU, Jalan Nenas,
Tanah Gantian Sungai Tua,
68100 Batu Caves, Selangor
Telefon : 03-61858776
WhatsApp : 012-3821916
Email : [email protected]
Mon – Fri 9:00A.M. – 5:00P.M.
