TAHFIZ: ANTARA KUANTITI, KUALITI & CABARAN EKOSISTEM PENDIDIKAN ISLAM


Baru-baru ini tular satu pandangan daripada seorang tokoh yang menyuarakan kebimbangan mengenai keadaan maahad tahfiz swasta. Beliau menyatakan bahawa wujud terlalu banyak pusat tahfiz namun dari sudut kualiti – termasuk pengurusan, fasiliti dan tenaga pengajar – masih mengecewakan. Beliau turut membandingkan keadaan ini dengan sekolah Cina yang jumlahnya sedikit tetapi tersusun, besar dan mantap.

Kritikan sebegini ada asas, namun jika diteliti secara mendalam, ia juga mengandungi beberapa kelemahan hujah yang perlu diperbetulkan dengan fakta, kajian dan konteks sebenar.

  1. Kenapa Tahfiz Bertambah Banyak?
    Fenomena lambakan tahfiz bukanlah perkara luar biasa. Ia berlaku kerana permintaan masyarakat yang tinggi terhadap pendidikan al-Quran, khususnya hafazan. Buat masa sekarang walaupun terdapat pembukaan sekolah-sekolah tahfiz baru, kapasiti kerajaan masih lagi terhad dan tidak dapat memenuhi semua permintaan khususnya permohonan ibu-bapa yang anak-anak mereka tidak memenuhi syarat-syarat kemasukan. Institusi tahfiz di bawah JAKIM, JAIS, KPM dan MARA tidak mampu menampung semua pelajar yang setiap tahun permohonannya bertambah. Apabila terdapat permintaan maka ianya akan menghasilkan pertumbuhan organik. Ramai asatizah dan individu membuka pusat tahfiz secara persendirian untuk memenuhi permintaan setempat. Data rasmi menurut laporan KPM (2018), terdapat lebih 1,200 institusi tahfiz swasta di Malaysia yang menampung puluhan ribu pelajar. Maka, lambakan itu bukan tanda kegagalan, tetapi refleksi kepada cinta umat Islam terhadap al-Quran.
  2. Kualiti: Jangan Samakan Semua
    Tidak dinafikan memang terdapat pusat tahfiz yang dhaif malahan ada yang gagal bertahan dan terpaksa ditutup. Namun begitu, menyamaratakan semua tahfiz sebagai tidak berkualiti adalah tidak adil. Banyak tahfiz swasta melahirkan huffaz cemerlang yang menyambung pengajian ke universiti tempatan dan antarabangsa. Satu kajian yang dikeluarkan oleh Universiti Malaya (2019) mendapati majoriti ibu bapa berpuas hati dengan pendidikan tahfiz swasta dari segi disiplin, akhlak dan hafazan anak-anak mereka. Realiti sebenar juga menunjukan bahawa ada tahfiz kecil yang bermutu dan ada juga tahfiz besar yang bermasalah. Isunya bukan bilangan tetapi standardisasi dan ekosistem sokongan.
  3. Perbandingan Dengan Sekolah Cina: Tidak Tepat
    Salah satu hujah popular ialah “sekolah Cina sedikit tetapi berkualiti, tahfiz banyak tetapi dhaif.” Hakikatnya, perbandingan ini tidak seimbang. Sekolah Cina (SJKC) adalah sekolah bantuan penuh kerajaan. Peruntukan operasi tahunan ditanggung KPM dan gaji guru mereka dibayar kerajaan. Peranan PIBG sekolah Cina lebih tertumpu untuk menambahbaikan fasiliti dan prasarana. Manakala sekolah Cina persendirian banyak mendapat dana dari korporat dan syarikat-syarikat Cina termasuk dari syarikat pengeluar arak dan judi berlesen (satu perkara yang perlu diambil kira secara serious oleh umat Islam yang memuji sistem sekolah Cina apatah lagi oleh mereka yang menghantar anak mereka untuk belajar). Tambahan pula mereka mempunyai kuasa lobi politik yang sangat kuat melalui organisasi seperti Dong Zong dan Jiao Zong. Melalui lobi dan tekanan dari organisasi-organisasi ini yang mempunyai pengaruh yang sangat besar ke atas parti-parti politik bangsa Cina (DAP, MCA & GERAKAN), banyak kelebihan telah diberikan kepada sekolah-sekolah persendirian Cina (sebanyak 63 buah) oleh kerajaan termasuklah peruntukan dana yang meningkat setiap tahun sejak 2019. Pada tahun 2025, peruntukan dana kerajaan telah mencecah RM20.16 juta dengan setiap sekolah menerima purata RM320,000 (Hmetro). Sebaliknya pusat tahfiz swasta pula berdikari 100%. Gaji guru dibayar sendiri dan kos operasi ditanggung melalui yuran dan sumbangan masyarakat. Peruntukan dana yang diberikan oleh kerajaan adalah berserta dengan syarat di mana ianya hanya boleh digunakan untuk baik-pulih bangunan. Proses permohonannya pula rumit khususnya bagi pusat-pusat tahfiz kecil yang tiada kakitangan khusus atau mahir untuk pentadbiran. Tidak sekadar itu, bermula tahun 2025 pusat-pusat tahfiz swasta hanya dibenarkan memohon dana baik-pulih bangunan ini setiap 2 tahun sekali. Sayugia dinyatakan, kejayaan menghantar permohonan yang lengkap tidak semestinya menjamin kelulusan memperoleh dana yang diperuntukan. Yuran pengajian yang dikenakan oleh pusat-pusat tahfiz pula tidak melambangkan kos operasi sebenar mereka. Berbeza dengan masyarakat Cina yang majoritnya mengambil berat tentang pendidikan dan mempertahankan sekolah-sekolah mereka, masyarakat Melayu agak kurang prihatin tentang pendidikan anak-anak mereka. Ramai dari kalangan masyarakat yang menghantar anak-anak mereka ke tahfiz mempunyai persepsi dan sikap- tidak mengapa membayar yuran lewat atau tidak membayar langsung kerana ianya akan ditanggung oleh pusat tahfiz. Akibatnya ramai pengasas terpaksa memegang pelbagai peranan seperti pentadbir, guru bahkan pencari dana .
  4. Mengapa Sukar Untuk “Bersatu”?
    Ada cadangan supaya umat Islam jangan buka terlalu banyak tahfiz, sebaliknya bergabung tenaga membina 1-2 pusat besar yang berkualiti. Idea ini bagus tetapi realitinya tidak semudah itu. Antara faktor yang menyukarkan pergabungan ialah keperluan setempat dan socio-budaya masyarakat Melayu dalam kategori keluarga M40 dan B40. Tidak semua keluarga mampu atau sanggup menghantar anak mereka jauh walupun jaraknya dalam lingkungan 10km dari rumah. Alasan kelewatan ke tempat kerja kerana kesesakan jalan merupakan antara faktor penentu besar dalam pemilihan sesebuah pusat tahfiz. Selain lokasi, penyediaan kemudahan asrama juga adalah faktor penting bahkan ramai ibu-bapa sanggup untuk meletakkan anak semuda usia 6 tahun di asrama tanpa mengambil kira faktor perkembangan emosi dan risiko kerana meletakkan anak kecil di asrama bersama dengan pelajar-pelajar yang berusia lebih tua. Citarasa kurikulum juga sangat berbeza dan ini menghasilkan pusat-pusat tahfiz dengan kepelbagaian kurikulum. Ada tahfiz penuh, tahfiz integrasi, pondok moden – semuanya memenuhi cita rasa berbeza. Masyarakat khususnya para pengkritik tegar pusat-pusat tahfiz persendirian perlu memahami faktor sejarah pertumbuhan tahfiz di Malaysia yang berlaku tanpa pelan induk nasional. Pusat-pusat tahfiz persendirian berkembang secara tersendiri mengikut kemampuan pengasas. Penyelesaian terbaik menurut pandangan penulis ialah membentuk konsortium atau koperasi tahfiz yang boleh bekerjasama termasuk dengan sekolah-sekolah kerajaan yang membolehkan perkongsian guru pakar, modul, dana pembangunan dan sokongan urus-tadbir– bukannya mengecilkan bilangan.
  5. Isu Kewangan & Tadbir Urus
    Benar ada tahfiz yang gagal mengurus kewangan dengan baik tetapi trend audit dan laporan telus semakin meningkat khususnya di Selangor dan Johor yang mewajibkan pendaftaran serta pematuhan standard. Model kewangan perlu dipelbagaikan: zakat, wakaf, CSR korporat, dana kerajaan dan perniagaan sosial. Bukan semua pengusaha tahfiz mempunyai kemahiran pengurusan dan kecukupan dana untuk mengujudkan kakitangan khas yang bertindak sebagai unit sokongan kepada bahagian pembelajaran pusat tahfiz tersebut. Jadi, penyelesaian kepada isu ini bukanlah dengan mengambil jalan mudah menutup tahfiz tetapi memberi latihan pengurusan dan sokongan sistemik. Kerajaan boleh mengujudkan insentif pengecualiaan cukai kepada organisasi dan syarikat korporat yang tampil untuk membantu pusat-pusat tahfiz menggunakan alasan yang sama yang diberikan dalam pengecualiaan cukai tertunggak dan penghapusan denda sebanyak RM83 juta yang diberikan kepada Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR). Alasannya ialah kerana pusat-pusat tahfiz persendirian adalah entiti pendidikan bukan keuntungan yang menyumbang kepada pembentukan modal insan negara dan dengan nilai tambah utama mereka membantu dalam perkembangan agama Islam dan merupakan benteng terakhir aqidah umat Islam. Pemberian insentif-insentif ini sesuai dengan peruntukan-peruntukan yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutan seperti perkara 11(1) dan 12(2).
  6. Perspektif al-Quran & Sunnah
    Kritikan terhadap bilangan tahfiz perlu seimbang dengan semangat nas agama yang terdapat dalam Al-Quran yang menggalakkan kepelbagaian usaha-usaha kearah kebaikan: “Maka berlumba-lumbalah kamu dalam kebaikan.” (Al-Baqarah: 148). Manakala Nabi ﷺ bersabda: “Sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya.” (HR Bukhari). Walau kecil, setiap usaha tahfiz tetap bernilai besar di sisi Allah, selagi diurus dengan amanah.

    Kesimpulan
    Isu tahfiz bukan sekadar soal kuantiti vs. kualiti. Ia menyentuh struktur pendidikan Islam negara, ekosistem sokongan dan model tadbir urus. Perbandingan dengan sekolah Cina adalah tidak tepat kerana sistem dan sumbernya berbeza. Penyelesaiannya bukan menutup tahfiz kecil tetapi memperkukuh ekosistem dengan piawaian, audit, konsortium dan dana bersama. Apa yang diperlukan ialah sinergi – zakat, wakaf, usahawan Muslim, NGO dan kerajaan – bagi memastikan institusi tahfiz terus relevan, berkualiti dan mampan. Akhirnya, pertumbuhan tahfiz adalah tanda cinta umat Islam terhadap al-Quran. Tugas kita bukan merendahkannya tetapi memperbaiki dan memperkukuhkan.

    “Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang di jalan-Nya dalam satu saf, seakan-akan mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” (As-Saff: 4)

    Semoga kita sama-sama menyusun saf pendidikan Islam dengan lebih mantap, mampan dan tidak terjebak kepada perpecahan serta menjadi ejen penyebar naratif yang melemahkan.

    Alauddin bin Ishak
    Muasis & Khadim,
    Maahad Tahfiz Al Quran Qasimul Ulum
2 Responses
  1. Thank you, I’ve just been searching for information about this subject for ages and yours is the greatest I’ve came upon so far.
    But, what about the bottom line? Are you sure about the source?

Leave a Reply to BASH Cancel Reply