











Dalam suasana penuh barakah dan linangan syukur, Maahad Tahfiz Al-Quran Qasimul Ulum (MATAQU) telah menganjurkan Majlis Khatam al-Quran Kali Ke-7 peringkat menengah pada 27 Mac 2025, bertempat di Masjid Al-Misbah.
Majlis bermula tepat jam 2.30 petang, disertai oleh semua pelajar menengah, guru-guru dan pihak pengurusan serta telah sama-sama mendidik dan membimbing para huffaz dengan penuh dedikasi.
Dengan penuh takzim, majlis ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Tuan Haji Alauddin, Pengerusi MATAQU, dan Hajah Wan Noreena Mastura, selaku Pengetua MATAQU tanda sokongan padu terhadap usaha memartabatkan al-Quran dalam jiwa generasi muda.
Khatam al-Quran bukan hanya simbol kejayaan dalam hafazan, tetapi satu peringatan bahawa perjalanan bersama al-Quran adalah seumur hidup. Ia bukan pengakhiran, tetapi permulaan untuk mendalami, menghayati dan mengamalkan kalam Allah dalam kehidupan seharian.
“Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.” Begitulah gambaran usaha gigih para pelajar yang saban hari menyulam hafalan dengan mujahadah dan tawakal.
Majlis ini menyentuh hati tatkala alunan bacaan terakhir bergema, terpancar wajah penuh haru dan bangga dalam kalangan guru serta pelajar. Sesungguhnya, al-Quran itu cahaya, dan siapa yang bersamanya tidak akan sesat jalannya.
Semoga majlis ini menjadi saksi cinta kita kepada al-Quran, dan menjadi bekalan pahala yang mengalir tanpa henti, dunia hingga akhirat.